Select Page
Yang Mana Satu Idaman Kalbu - Enterprise Atau Sdn Bhd? | Nak Urus Bisnes

Mesti semua dah nyanyi lagu P.Ramlee kan bila baca headline tu? Haa.. Takpe.. Nyanyilah.. Tapi jangan ingat ni kita nak sembang yang berbunga-bunga. Kita nak sembang untuk usahawan supaya celik sikit bab-bab pengurusan bisnes ni.

Semua usahawan yang menjalankan bisnes tak kira konvensional atau online kena daftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Bukan main hentam je buat bisnes ni ye.. Nak daftar pulak, kena tahu dulu apa jenis entiti perniagaan yang sesuai untuk didaftarkan.

Terdapat 3 jenis entiti perniagaan yang boleh didaftarkan di Malaysia seperti berikut:

– Enterprise (Milikan Tunggal) di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956

– Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) di bawah Akta PLT 2012

– Syarikat (Sdn Bhd) di bawah Akta Syarikat 2016

Manfaat daftar perniagaan adalah dapat membantu dalam jangka masa panjang untuk anda kembangkan lagi empayar bisnes. Selepas dah daftarkan perniagaan barulah boleh buka Akaun Semasa Perniagaan (Current Account) khas untuk perniagaan je.

Selepas tu, melalui rekod kewangan dalam akaun itu akan memudahkan bisnes owner mendapatkan pinjaman-pinjaman yang ditawarkan bank-bank atau agensi kerajaan berkaitan.

Sebenarnya banyak kelebihan untuk daftarkan bisnes, lebih-lebih lagi yang memang minat atau serius berniaga walaupun secara kecil-kecilan.

Tapi.. ada je ramai lagi usahawan yang masih lagi tak daftarkan perniagaan mereka. Jika mereka tidak mendaftar, mereka boleh diambil tindakan hingga dibawa ke mahkamah mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Jadi, nak buat bisnes kita perlu daftarkan perniagaan tak kiralah bisnes tu bisnes dalam skala kecil sebab daripada kecil bisnes tu mampu menjadi lebih besar dan pergi jauh lagi.

Entiti perniagaan merupakan satu badan bisnes yang mempunyai fungsi tersendiri dan boleh dikelaskan berdasarkan kepada bentuk pemilikannya, aktiviti perniagaan dijalankan, sektor industri, jenis keluaran dan juga peringkat perniagaan dalam aliran industri.

Setiap bentuk pemilikan bisnes mempunyai ciri-ciri, kelebihan dan kelemahan tersendiri. Jadi, sebagai usahawan anda perlulah tahu ciri-ciri entiti perniagaan yang sesuai untuk anda daftarkan.

Kebiasaannya, usahawan-usahawan baru akan mendaftar Enterprise. Enterprise ni sangat mudah ditubuhkan dengan kos pendaftaran yang rendah.

Enterprise juga sangat popular dalam kalangan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mereka sendiri boleh daftar di SSM atau pun secara online.

Enterprise mempunyai tanggungan yang tidak terhad bermaksud sekiranya berlaku tuntutan hutang daripada bank atau pemiutang, harta peribadi dimiliki usahawan/pemilik seperti hartanah, saham, simpanan dan lain-lain boleh disita bagi melangsaikan hutang berkenaan.

Berikut antara kebaikan mendaftar Enterprise:

1. Mudah dan kos murah.

2. Owner bisnes mempunyai kuasa dan kawalan penuh.

3. Kesemua untung bisnes milik owner.

4. Kadar cukai pendapatan rendah dan mengikuti kadar cukai pendapatan individu.

5. Tak perlu lapor Penyata Kewangan setiap tahun kepada SSM.

6. Hubungan pemilik-pelanggan lebih rapat.

Kelemahan Enterprise:

1. Perniagaan dan owner entiti sama, maka dia mempunyai tanggungan yang tidak terhad ke atas semua hutang piutang bisnes.

2. Sukar bagi pemilik mendapatkan pinjaman besar daripada institusi kewangan atau pihak pelabur yang lain.

 3. Jika owner hilang keupayaan, kebarangkalian bisnes akan musnah.

 4. Semua kuasa dan kawalan bisnes ditangan owner maka beban kerja ditanggung lebih berat.

 5. Mati owner, matilah bisnes. Tiada wujud konsep warisan yang berterusan seperti syarikat.

Apa pulak yang berbeza dengan Sendirian Berhad (Sdn Bhd)? Bagi Sendirian Berhad (Sdn Bhd), pemilik atau pemegang sahamnya terdiri daripada 2 hingga 50 orang dan semua pemilik perniagaan berliabiliti terhad.

Pemilik / pemegang saham syarikat sendirian berhad yang menyumbang modal perniagaan dan mereka dilarang sama sekali untuk mengutip modal daripada orang awam.

Saham syarikat sendirian berhad boleh dijual beli tetapi tidak dilakukan secara terbuka di pasaran.

Pemegang saham yang memiliki 51% atau lebih daripada jumlah saham biasa syarikat sendirian berhad, berhak untuk mengawal syarikat itu.

Kelebihan Sdn Bhd:

1. Liabiliti terhad bermaksud jika berlaku penutupan bisnes ekoran bankrap maka hanya aset dan harta benda syarikat akan disita. Aset owner syarikat tidak dapat diambil disebabkan ia entiti yang berbeza.

2. Berlainan daripada milik tunggal, syarikat tidak akan terjejas meskipun owner mati kerana ia boleh dipindah milik pada bila-bila masa sahaja.

3. Kredibiliti syarikat Sdn Bhd atau Bhd lebih tinggi dan diyakini oleh pihak ketiga yang ingin berurusan dengan mereka.

4. Pelbagai insentif pengecualian cukai dinikmati yang bertujuan untuk merancakkan lagi ekonomi negara.

5. Penyata kewangan tidak perlu dinyatakan pada orang awam.

6. Jangka masa hayat perniagaan lebih terjamin.

7. Sumber modal yang lebih besar daripada Enterprise.

Bagi anda yang dah mulakan perniagaan secara Enterprise samada menjalankan perniagaan jualan produk atau perkhidmatan. Anda mestilah mempunyai sasaran perniagaan anda untuk dikembangkan lebih jauh lagi dan hayat perniagaan anda bertahan lebih lama.

Kami harap anda dapat banyak input dan yang paling penting… segala aktiviti perniagaan yang ingin dijalankan mestilah berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Jom share kalau anda suka dengan perkongsian ni.

#TeamRichWorks

#NakUrusBisnes